Sunday, January 1, 2017

Sistem ePengembangan

Perkhidmatan pengembangan pertanian  adalah perkhidmatan teras Jabatan Pertanian yang diberikan kepada semua usahawan tani dan semua masyarakat di negara ini. Jabatan Pertanian telah  menyampaikan khidmat pengembangan selama 112 tahun. Pengalaman yang dimiliki oleh jabatan untuk menyampaikan khidmat ini tidak boleh dinafikan. Namun setinggi mana pengalaman yang dimiliki, pengembangan tetap perlu diberi penambahbaikkan agar terus relevan dengan keperluan dan ekspektasi masyarakat.

Elemen penambahbaikan ini perlu disuntik di setiap peringkat proses program pengembangan. Bermula daripada peringkat perancangan hinggalah ke peringkat penilaian. Apabila berlaku pengecutan anggota yang drastik maka dengan secara automatisnya proses kerja sepatutnya dinilai dan dirangka semula. Semua pihak dari semua peringkat jawatan tahu dan nampak keperluan mengubal semula proses kerja, namun tindakan yang diambil sangat perlahan hinggakan setelah disenja tahun 2016 masih belum nampak 1 proses kerja pun siap dirangka.

Kejayaan Jabatan Pertanian Negeri Perak membina sistem pengembangan adalah satu kejayaan yang sangat dibanggakan. Sistem ini adalah titik permulaan perubahan dan nafas baru khidmat pengembangan pertanian.

Tahap penerimaan dan tahap penggunaan warga jabatan terhadap sistem ini masih di tahap yang sangat rendah. Namun proses peralihan ini tetap perlu diteruskan serta sistem akan dipertingkatkan kecekapannya agar menjadi lebih mesra dan mudah.

Sistem pengembangan ini mula dirancang pada tahun pertama pelaksanaan ms sio perkhidmatan pengembangan pertanian jabatan pertanian. Semenjak daripada sistem dibangunkan pada tahun 2011 pelbagai penambahbaikan dibuat termasuklah dengan menggabungkan prosedur kerja pengembangan dengan kerangka pelan strategik pengembangan. Pelan strategik akan membantu agen pengembangan kawasan (APK) menyediakan jadual lawatan yang tepat mengikut keperluan petani yang dibimbing agar lawatan khidmat nasihat yang dilaksana memberi impak yang berkesan.

Putrajaya telah memberikan lampu hijau kepada negeri Perak untuk menggunapakai sistem ini selaku pilot kepada semua negeri yang akan menyusul selepas sistem ini diuji kecekapannya. Sebagai seksyen yang diamanahkan untuk menerajui program pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Perak akan menjadikan penambahbaikan proses kerja program pengembangan sebagai indikator penilaian prestasi yang utama bagi tahun 2017.

No comments:

Post a Comment