Sunday, October 16, 2011

Parti Komunis Malaysia Timeline

Pada Jun 1955, Kerajaan British di Tanah Melayu menerima sepucuk surat daripada wakil ‘Ibu Pejabat Pemerintah Tertinggi Tentera Pembebasan Malaya’ yang dihantar dari Haadyai,  Thailand.

Surat itu ditandatangani oleh seseorang yang dikenali sebagai Ng Heng iaitu samaran kepada Chin Peng, peneraju Parti Komunis Malaya (PKM).

Dalam surat itu, Chin Peng menyatakan PKM bersedia berunding dengan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi menamatkan darurat dan memulihkan keamanan di Tanah Melayu.

Surat berkenaan secara tidak langsung menggambarkan tanda positif mengenai usaha mencapai keamanan di Tanah Melayu.

Pada 9 September 1955, Tunku Abdul Rahman menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada Chin Peng dan semua pengikut-[engikutnya. Tawaran dibuat dengan menggugurkan 40 juta risalah pengumuman daripada kapal terbang ke hutan belantara yang menjadi lokasi persembunyian komunis.

Risalah itu menyatakan bahawa sesiapa di kalangan anggota komunis yang ingin menyerah diri tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan. Bekas komunis yang ingin menetap di tanah air dan tunduk setia kepada negara akan dibenarkan berbuat demikian manakala mereka yang ingin terus mengamalkan ideologi komunis dibenarkan kembali ke China.

Bersama risalah pengumuman itu, turut digugurkan daripada kapal terbang adalah 12 juta pas pengampunan yang dicetak dalam tiga bahasa iaitu Cina, Melayu dan Tamil.

Risalah itu berbunyi: “Pemegang pas ini ingin menerima peraturan pengampunan am dan diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan. Tunjuk arah telah diberi kepada semua anggota pasukan keselamatan, polis, tentera dan pegawai kerajaan supaya memberi layanan baik kepada pemegang pas ini. Mereka akan bertanggungjawab melaksanakan tunjuk arah ini.”

Tiga minggu selepas tawaran pengampunan itu dibuat, Chin Peng mengutuskan jawapan balas menerusi satu lagi surat yang meminta gencatan senjata diadakan dan disusuli rundingan menamatkan darurat.

Lanjutan itu Rundingan Baling diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955, menjadi lokasi rundingan antara kedua-dua pihak. Pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diwakili Tunku Abdul Rahman, David Marshall dan Tan Cheng Lock manakala PKM diwakili Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Bagaimanapun, rundingan dua hari itu gagal mencapai kata putus apabila Chin Peng enggan menerima pengampunan tanpa syarat yang ditawarkan kerajaan sebaliknya meminta PKM dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Permintaan Chin Peng itu ditolak kerajaan.

Tanah Melayu kemudian mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 iaitu ketika darurat masih lagi berkuat kuasa dan komunis masih berkeliaran dalam hutan negara. Chin Peng sekali lagi mengutus surat meminta rundingan diadakan tetapi kali ini, ia tidak lagi dilayan kerajaan.

Menjelang 1960, usaha kerajaan secara giat untuk membanteras komunis menyebabkan kegiatan PKM semakin lumpuh. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan selepas ancaman komunis semakin berkurangan dan saki baki pengganas itu berundur ke sempadan Tanah Melayu-Thailand.

Menyedari usaha mereka tidak lagi membuahkan sebarang hasil, pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) ditandatangani antara PKM dengan Kerajaan Malaysia.

Perjanjian bersejarah itu sekali gus menamatkan perjuangan bersenjata PKM selama 41 tahun untuk memerintah Malaysia. Mereka akhirnya mengembalikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang negara

No comments:

Post a Comment